Dr Zaliha sertai Mesyuarat Lembaga Eksekutif WHO
MENTERI Kesihatan Dr Zaliha Mustafa akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Sesi ke-152 di Geneva, Switzerland pada 30 Januari hingga 7 Februari ini.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan, memaklumkan mesyuarat berkenaan adalah lawatan rasmi pertama Dr Zaliha ke luar negara selepas dilantik sebagai menteri.
Menurutnya, Mesyuarat Lembaga Eksekutif WHO adalah mesyuarat berkala yang dihadiri Menteri-Menteri Kesihatan, Ketua-Ketua Pengarah Kesihatan dan pakar-pakar dalam bidang berkaitan untuk membincangkan isu kesihatan.
“Malaysia telah dilantik sebagai ahli Lembaga Eksekutif WHO mewakili rantau Pasifik Barat bagi tempoh tiga tahun bermula Mei 2021 hingga Mei 2024.
“Selaku ahli, penyertaan Malaysia adalah penting kerana ia menyediakan ruang bagi konsultasi dan perbincangan demi kepentingan sektor kesihatan sejagat,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Menurut KKM, deligasi Malaysia juga akan mengetengahkan isu-isu kesihatan signifikan yang bukan sahaja membabitkan negara, malah negara anggota rantau Pasifik Barat.
“Komitmen Malaysia dalam menghadiri mesyuarat ini membuktikan kerajaan konsisten dan komited dalam setiap kerjasama di peringkat antarabangsa.
“Selain menaikkan imej negara di persada global, kerjasama berterusan ini akan diterjemahkan sebagai usaha Malaysia dalam membangunkan sektor kesihatan secara holistik dalam negara mahupun rantau Pasifik Barat,” katanya.
Delegasi Malaysia akan turut disertai Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan pegawai-pegawai daripada KKM. – Malaysiapost