KJ tolak pelawaan sertai PN
KHAIRY Jamaluddin menolak pelawaan Pas untuk beliau menyertai Perikatan Nasional (PN) jika beliau dikenakan tindakan oleh Umno.
Bekas Menteri Kesihatan dan juga bekas Ketua Pemuda Umno itu, bagaimanapun mengucapkan terima kasih atas pelawaan berkenaan.
“Saya ucap terima kasih atas pelawaan Pas untuk sertai PN tetapi saya masih setia sebagai ahli biasa Umno,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau menegaskan beliau akan terus kekal bersama Umno.
Terdahulu Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilaporkan mempelawa Khairy untuk menyertai mana-mana parti dalam komponen PN.
Menteri Besar Terengganu itu berkata, PN dan Pas bersedia menerima Khairy jika dikenakan tindakan penyingkiran oleh partinya dan Khairy boleh memilih untuk menyertai mana-mana parti komponen PN. – Malaysiapost