Malaysia berjaya ketepikan tuntutan ‘waris’ Sultan Sulu di Luxembourg
MALAYSIA berjaya memperoleh kemenangan penting terhadap individu yang mendakwa sebagai ‘waris’ Sultan Sulu apabila Mahkamah di Luxembourg, kelmarin mengetepikan perintah penahanan (attachment order) yang dipohon pihak terbabit.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata perintah penahanan yang diketepikan itu dipohon pihak berkenaan pada 11 Julai 2022.
Beliau berkata, perintah itu dipohon berasaskan dua penganugerahan timbang tara (purported arbitral awards)yang dikeluarkan oleh penimbang tara yang dilantik secara tidak sah iaitu Dr Gondoza Stampa.
“Dr Stampa menganugerahkan kepada penuntut sebanyak AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion). Malaysia telah membantah secara konsisten prosiding timbang tara yang sudah dirancang oleh penuntut.
“Malaysia telah mengambil segala tindakan perundangan yang ada untuk membatalkan pelantikan Dr Stampa serta ‘anugerah’ yang diberikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, hasil daripada tindakan Malaysia itu, Mahkamah Sepanyol yang melantik Dr Stampa membatalkan pelantikan itu secara retrospektif dan ‘preliminary award’ yang dikeluarkannya di Madrid.
“Mahkamah Perancis juga menggantung penguatkuasaan ‘final award’ yang dikatakan dikeluarkan oleh Dr Stampa di Perancis, sementara menunggu keputusan mahkamah bagi permohonan Malaysia untuk mengetepikan ‘final award’ itu.
“Malaysia telah dengan serta merta membuat permohonan kepada Mahkamah Luxembourg untuk mendapatkan ‘relif interim’ supaya perintah penahanan itu diketepikan.
“Pendengaran bagi permohonan itu sudah berlangsung pada 5 Disember 2022 di hadapan hakim Mahkamah Luxembourg yang kemudiannya memutuskan mengetepikan perintah penahanan itu,” katanya.
Azalina berkata, keputusan Mahkamah Luxembourg itu menjustifikasikan prinsip kerajaan untuk mempertahankan Malaysia di mana-mana forum bagi memastikan kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatannya sentiasa dilindungi dan terpelihara.
“Dalam hal ini, kerajaan akan terus berusaha untuk menamatkan segala tuntutan terhadap Malaysia,” tegasnya. – Malaysiapost