Mesyuarat MKT esok tentukan tarikh pemilihan Umno

Mesyuarat MKT esok tentukan tarikh pemilihan Umno

UMNO akan menentukan tarikh pemilihan termasuk bagi jawatan tertingginya pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), esok.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata ia melibatkan pemilihan di peringkat cawangan serta bahagian yang dijangka diadakan serentak di 191 bahagian seluruh negara, termasuk untuk memilih kepimpinan tertingginya.

“Mesyuarat esok kita akan memutuskan tarikh pemilihan yang kita kena buat sebelum 19 Mei depan.

“Sebab dalam perlembagaan Umno, pemilihan hendaklah dibuat dalam tempoh enam bulan selepas pilihan raya (peringkat) Dewan Rakyat.

“Mesyuarat MKT esok malam adalah untuk memutuskan tarikh sebelum 19 Mei itu, bila tarikh mesyuarat cawangan, bahagian dan pemilihan yang dibuat (serentak) dalam tarikh itu,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Akhbar itu juga melaporkan, Umno difahamkan telah menetapkan untuk mengadakan pemilihan parti pada Februari ini, bermula dengan mesyuarat dan pemilihan di lebih 20,000 cawangan di seluruh negara.

Ia diikuti mesyuarat serta pemilihan di 191 bahagian untuk memilih jawatan tertinggi, termasuk presiden dan timbalan presiden, jika dipertandingkan kali ini.

“Kalau tidak Februari, Mac, kalau tidak April, yang pasti sebelum 19 Mei ini. Kalau saudara buat jangkaan itu (Februari atau Mac) tepatlah, kalau tak Februari, Mac,” kata Ahmad ketika ditanya sama ada pemilihan akan bermula bulan depan.

Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini meluluskan usul supaya dua jawatan utama parti tidak dipertandingkan, namun mendapat kritikan segelintir ahli.

Susulan itu, dua ahli Umno menghantar aduan kepada ROS supaya semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan. – Malaysiapost

Komen