PAS terlewat nyata pendirian berhubung tindakan Islamofobia

PAS terlewat nyata pendirian berhubung tindakan Islamofobia

PAS agak terlewat menyatakan pendirian berhubung tindakan Islamofobia ahli politik sayap kanan Sweden, Rasmus Paludan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini kerana, kata Perdana Menteri, kerajaan sudah membuat kenyataan yang tegas berhubung tindakan Islamofobia itu.

Bagaimanapun Perdana Menteri berkata PAS boleh melakukan himpunan membantah tindakan Islamofabia itu seperti dirancang mereka pada esok.

“Mereka (PAS) ada hak untuk berbuat demikian. Tiada isu mengenai protes, mereka harus tunjukkan pandangan mereka.

“Jika PAS mahu lakukan begitu, mereka boleh lakukan tapi kerajaan telah membuat perkara itu (bantahan), malah sudah hubungi Duta Sweden dan nyatakan dengan jelas pendirian Malaysia.

“Kenyataan kita amat tegas tapi mereka (PAS) agak terlewat untuk nyatakan pendirian,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Beliau mengulas penganjuran himpunan solidariti anjuran Dewan Ulama PAS Pusat, esok bagi membantah penghinaan terhadap agama Islam oleh seorang pemimpin politik Sweden, baru-baru ini.

Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya semalam berkata himpunan solidariti itu akan bermula di KLCC sebelum berarak ke kedutaan Sweden.

Sabtu lalu pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line, Rasmus Paludan menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, membakar al-Quran dengan pemetik api.

Dia bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). – Malaysiapost

Komen