PN, Pas sedia terima KJ

PN, Pas sedia terima KJ

KHAIRY Jamaluddin boleh memilih untuk menyertai mana-mana parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN), sekiranya bekas Menteri Kesihatan itu disingkirkan Umno.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata partinya dan PN bersedia menerima bekas Ahli Parlimen Rembau dan bekas Ketua Pemuda Umno itu.

Beliau berkata, kepimpinan Pas dan PN menganggap penyertaan Khairy dalam gabungan itu diibaratkan sebagai kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan.

“Pimpinan parti dalam PN sentiasa bersikap terbuka dan penyertaan mana-mana pemimpin politik atau individu untuk bersama melaksanakan pelbagai agenda kepada rakyat,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Teknologi dan The Future Of Growth 2.0, di Kuala Terengganu, hari ini.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian ketika ditanya sama ada Pas dan PN bersedia menerima Khairy, jika pemimpin itu dikenakan tindakan termasuk digugurkan daripada keahlian oleh Lembaga Disiplin Umno.

Umno dijangka mengadakan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) esok termasuk membincangkan tindakan ke atas Khairy, yang menyebarkan dakwaan kewujudan ‘perwakilan import’ dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri mengakui Khairy adalah pemimpin hebat dan berfikiran terbuka serta mampu melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan dengan cemerlang.

“Pandangan saya adalah Khairy pemimpin yang mampu melaksanakan pelbagai agenda kepada rakyat.

“Kita mengalu-alukan dan bersedia menerima penyertaan Khairy untuk bersama dengan PN,” katanya. – Malaysiapost

Komen