Tangani segera isu monopoli tiket penerbangan umrah – PUTRA

Tangani segera isu monopoli tiket penerbangan umrah – PUTRA

KERAJAAN bersama agensi berkaitan disaran agar menetapkan harga tiket penerbangan bagi jemaah umrah untuk mengelakkan agensi umrah tertentu membolot tiket penerbangan untuk dijual dengan harga lebih tinggi.

Ketua Penerangan PUTRA Malaysia Shahrulufti Sharif, berkata harga tiket perlu berdasarkan harga tetap yang ditentukan oleh syarikat penerbangan bagi mencapai pasaran melebihi normal serta pulangan dan menang-menang kepada semua pihak.

Menurutnya, terdapat dakwaan lima agensi umrah di negara ini yang membolot tiket penerbangan untuk ke Tanah Suci dan isu monopoli itu diketahui oleh pengurusan syarikat penerbangan, namun tiada tindakan diambil.

Beliau berkata tindakan mengeksploitasi dan menganiaya pelanggan dengan harga terlampau tinggi oleh syarikat yang memonopoli urusan mengerjakan umrah itu amatlah dikesali.

Shahrulufti menegaskan ia perbuatan tidak bertangjawab terutama membabitkan urusan ibadah yang sepatutnya dibuat dan diurus secara telus dengan rahmat Allah SWT.

“Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata mengikut harga semasa, tiket penerbangan umrah hanya sekitar RM2,700 hingga RM2,800 tetapi dijual semula oleh agensi terbabit sekitar RM4,800 hingga RM5,000.

“Mereka hanya membayar sekitar 10 peratus deposit untuk membeli keseluruhan tiket bagi satu penerbangan. Ini menyebabkan agensi umrah terutama yang kecil tak dapat beli terus tiket dengan syarikat penerbangan kerana semua tempat duduk sudah dibolot.

“Perbuatan ini sudah lama berlarutan dengan sekurang-kurangnya 120,000 tiket penerbangan ke Tanah Suci dijual semula dalam tempoh setahun,” katanya.

Justeru, beliau menggesa kerajaan mengkaji semula prosedur operasi umrah dan mengambil tindakan segera terhadap isu monopoli tiket penerbangan umrah yang didakwa berlaku itu.

“Agensi dalam industri yang sama juga patut bekerjasama untuk memastikan keuntungan tidak melampau serta zalim, dan menyelaras antara satu sama lain untuk memberi manfaat kepada jemaah umrah.

“Bukannya bersaing secara ‘monopoli’ dan mengaut keuntungan melampau serta tamak hingga memeras jemaah terutama golongan miskin yang komited untuk mengerjakan umrah.

“Tingkah laku anti-persaingan ini boleh membawa kepada harga yang lebih tinggi dan membebankan hingga akhirnya jemaah umrah yang menjadi mangsa. Ianya sama seperti harimau makan ayam kampung,” katanya. – Malaysiapost

Kredit foto: Bebas News

Komen