Terengganu negeri terbaharu dilanda banjir

Terengganu negeri terbaharu dilanda banjir

LIMA negeri kini dilaporkan terjejas akibat banjir dengan Terengganu yang terbaharu mencatatkan pemindahan mangsa selepas Johor, Sabah, Pahang dan Sarawak.

Berdasarkan laporan Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), jumlah keseluruhan mangsa setakat jam 8 malam tadi adalah seramai 12,346 penduduk daripada 4,018 keluarga.

Sabah masih mencatatkan mangsa tertinggi dengan 6,394 orang daripada 2,281 keluarga dipindahkan di 38 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Berlaku peningkatan mangsa di daerah Pitas dengan 1,605 penduduk daripada 550 keluarga dipindahkan, manakala Kota Marudu mencatatkan jumlah sama iaitu 4,789 orang dan di Kudat (739 mangsa) serta semua PPS di Kudat telah ditutup.

Johor pula merekodkan seramai 5,553 mangsa daripada 1,618 keluarga di tujuh daerah iaitu Batu Pahat (327 mangsa), Kluang (1,173 mangsa), Kota Tinggi (857 mangsa), Mersing (1,589 mangsa), Muar (121 mangsa), Pontian (18 mangsa) dan Segamat (1,468 mangsa).

Laporan itu turut memaklumkan peningkatan mangsa di daerah Rompin, Pahang dengan seramai 323 penduduk daripada 97 keluarga dipindahkan ke tiga PPS.

Keadaan banjir di Sarawak pula tidak berubah dengan hanya daerah Kuching yang terjejas yang merekodkan 56 mangsa daripada 17 keluarga.

Sementara itu, banjir yang melanda Terengganu membabitkan daerah Besut dengan 20 mangsa dipindahkan membabitkan lima keluarga. – Malaysiapost

Komen