Tiga sekolah dinaiki banjir, 19 dijadikan PPS di Johor
TIGA sekolah di Johor dilaporkan dinaiki air setakat ini susulan bencana banjir yang melanda negeri berkenaan sejak beberapa hari lalu.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, berkata selain tiga sekolah yang terjejas itu, sebanyak 19 lagi sekolah digunakan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri berkenaan.
“Sejurus dimaklumkan mengenai banjir yang berlaku di Johor, saya telah meminta pegawai-pegawai saya untuk turun segera melihat beberapa kawasan yang terkesan di negeri itu, semasa keberadaan saya di Sarawak.
“Menjadi keutamaan saya untuk memastikan kesemua PPS ini dilengkapi dengan fasiliti dan kemudahan yang sempurna agar mangsa-mangsa yang ditempatkan di PPS ini sentiasa berada dalam keadaan sihat, selesa dan selamat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau yang kini berada di Sarawak bagi lawatan kerja turut berterima kasih kepada Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Johor (Pengurusan Sekolah) Anuar Sukiran yang telah memberikan taklimat berkaitan keadaan semasa bencana banjir di Johor.
“Sama-sama kita doakan agar semua mangsa dan petugas diberikan kekuatan dalam berhadapan situasi bencana banjir ini.
“Kepada mereka yang berada di kawasan rendah dan berpotensi untuk banjir, diharap sentiasa berwaspada dan bersiap-siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya. – Malaysiapost