Umno, BN tak wajar bertanding solo PRN 6 negeri – penganalisis

Umno, BN tak wajar bertanding solo PRN 6 negeri – penganalisis

Najamuddin Mohd Nor

UMNO dan Barisan Nasional (BN) wajar bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri yang akan diadakan tidak lama lagi. 

Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Salawati Mat Basir berpendapat, kerjasama politik di peringkat Pusat patut diterjemahkan di peringkat negeri.

Ini kerana katanya, ia sekali gus dapat memperkukuh lagi gabungan PH-BN yang dibentuk dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini. 

“Mengapa tidak? Sepatutnya itulah yang terbaik dilakukan Umno dan BN untuk menunjukkan aspirasi yang terbentuk di Pusat selari di peringkat negeri. 

“Ia bukan sahaja memperkukuhkan kerjasama PH-BN, tetapi ia juga selari dengan apa yang berlaku dalam kerjasama Kerajaan Perpaduan sekarang. 

“Sebab itu lebih baik Umno dan BN bekerjasama dengan PH dalam PRN enam negeri ini berbanding bertanding secara solo,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini. 

Mengulas lanjut, Dr Salawati berkata, landskap politik negara yang berubah selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah menyebabkan Umno perlu menerima perubahan itu dan menyedari kekuatan parti tersebut lagi seperti dahulu. 

“Selepas keputusan PRU15, tiada parti yang menang dapat majoriti mudah, landskap politik negara berubah dengan tiada parti yang boleh mengakui mereka kuat. 

“Yang di-Pertuan Agong dengan bijaksana telah memutuskan Kerajaan Perpaduan dibentuk diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

“Jadi sewajarnya Umno dan BN menerima perubahan ini, menjalin kerjasama dalam PRN ini sekali gus memperkukuh Kerajaan Perpaduan yang diilhamkan Yang di-Pertuan Agong. 

“Secara tak langsung, ia dapat menepis cakap-cakap Kerajaan Perpaduan ini tidak bersatu hati, tidak kuat atau sekadar ingin berkuasa menjadi kerajaan, perlu diingat rakyat memerhati perkembangan dalam Kerajaan Perpaduan ini,” katanya.

Mengenai sentimen yang akan dimainkan pembangkang sekiranya BN bekerjasama dengan PH dalam PRN, Dr Salawati menegaskan, perkara itu lumrah dalam politik. 

“Mana ada parti politik akan membiarkan musuh politiknya selesa. 

“Pastinya Perikatan Nasional (PN) akan bermati-matian memainkan pelbagai sentimen untuk mengecam BN dan PH terutama masih ada pemimpin Umno kes mahkamah belum selesai. 

“Yang penting, cara mana BN khususnya Umno menangani dan menepis sentimen berbangkit, sekali gus memikat hati pengundi menaruh keyakinan kepada kerjasama BN-PH pada PRN nanti,” katanya. – Malaysiapost

Komen