“Umno milik ahlinya semua. Bukan MT sahaja” – KJ
BEKAS Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menegaskan pendiriannya yang berbeza pandangan dengan pucuk pimpinan parti dan menuntut proses demokrasi dihormati bukan bermakna beliau tidak setia kepada parti.
Dalam satu hantaran di Insta Story, bekas Menteri Kesihatan itu turut menegaskan Umno adalah milik semua ahlinya dan bukan pemimpin tertentu sahaja.
“Berbeza pandangan dengan pucuk pimpinan dan menuntut proses demokrasi dihormati, tidak bermakna tidak setia kepada parti.
“Umno milik ahlinya semua. Bukan MT (Majlis Tertinggi) sahaja,” katanya.
Hantaran itu dipercayai susulan daripada kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membayangkan akan ada pembersihan besar-besaran parti itu yang akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), esok.
Ahmad Zahid berkata, pembersihan itu termasuk mereka yang mensabotaj parti dan calon parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada mesyuarat MKT esok akan menentukan nasib Khairy.
Difahamkan mesyuarat MKT Umno esok antara lain akan membincangkan tindakan ke atas Khairy, yang mendakwa wujud ‘perwakilan import’ dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 baru-baru ini.
Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau antara yang lantang bersuara supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti dipertandingkan dalam pemilihan kali ini bagi memastikan amalan demokrasi dalam parti tidak terkubur. – Malaysiapost