Banjir di Sabah semakin buruk

Banjir di Sabah semakin buruk

JUMLAH keseluruhan mangsa banjir di seluruh Malaysia semakin meningkat setakat jam 8 malam tadi membabitkan seramai 14,142 mangsa daripada 4,629 keluarga yang dipindahkan ke 75 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Berdasarkan laporan Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), keadaan banjir di Sabah bertambah buruk membabitkan 10,442 mangsa daripada 3,294 keluarga.

Menurut laporan itu, daerah di Sabah paling teruk terjejas adalah Kota Marudu (7,358 mangsa), diikuti Pitas yang merekodkan peningkatan (2,954 mangsa), Tawau (109 mangsa) dan Telupid (21 mangsa)

Johor pula merekodkan penurunan dengan 3,328 mangsa daripada 922 keluarga membabitkan tujuh daerah iaitu Batu Pahat (209 mangsa), Kluang (780 mangsa), Kota Tinggi (417 mangsa), Mersing (1,792 mangsa), Segamat (114 mangsa), Tangkak (15 mangsa), dan PPS di Muar telah ditutup.

Di Pahang mangsa tidak berubah dengan 352 mangsa daripada 105 keluarga di daerah Rompin dipindahkan ke empat PPS.

Mangsa banjir di Terengganu juga tidak berubah seperti jam 4 petang tadi dengan 20 mangsa daripada lima keluarga di daerah Besut. -Malaysiapost

Komen