Bayi 3 bulan maut di pusat asuhan
SEORANG bayi lelaki berusia tiga bulan meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika dalam jagaan sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Seksyen 15 Bandar Baru Bangi, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata Balai Polis Bandar Baru Bangi menerima panggilan telefon pada jam 12.10 tengah hari tadi daripada jururawat Hospital Pakar An-Nur, Bandar Baru Bangi menyatakan menerima bayi dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Menurutnya, bayi berkenaan dihantar oleh pihak sebuah pusat asuhan kanak-kanak dan rawatan kecemasan telah diberikan kepada bayi terbabit oleh pihak hospital namun tiada tindak balas dan telah disahkan meninggal dunia.
“Siasatan awal pihak polis mendapati bayi itu dihantar ibunya pada jam 7.15 pagi dalam keadaan sihat, namun kemudian ditemukan tidak sedarkan diri oleh pihak pengasuh jam 10.30 pagi.
“Pemeriksaan pada tubuh bayi tidak menemui sebarang kecederaan. Mayat bayi itu dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semakan mendapati pusat asuhan berkenaan telah beroperasi sejak 2014 dan mempunyai lesen sah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.
“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur kekerasan yang berlaku, tetapi disyaki terdapat unsur kecuaian menyebabkan kematian pada bayi terbabit dan siasatan lanjut masih dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Sementara itu, beliau menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di talian 03-88114222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Atau terus menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Noor Hairul Anuar Shuhaimi di talian 012-3043034 bagi membantu siasatan,” katanya. – Malaysiapost