Bermuafakat mencari kebenaran, bermuhasabah atas kesilapan

Bermuafakat mencari kebenaran, bermuhasabah atas kesilapan

PERBEZAAN pandangan berpunca daripada pengaruh seseorang atau sesuatu kumpulan tentang pengalaman, persekitaran, pengetahuan, kemahiran dan kesedaran mereka.

Antara faktor menyebabkan timbulnya isu perbezaan dan perselisihan adalah sikap seringkali menonjolkan pemikiran dan paradigma kumpulan masing-masing.

Selain, tidak meraikan ideologi politik lain walaupun ianya tidak bertentangan dengan syariat, suka dan merasa hebat apabila disanjung, sentiasa merasakan pandangan kita sahaja betul dan yang selainnya adalah salah.

Teks khutbah Jumaat bertajuk ‘Bijak menyingkap perbezaan pendapat’ terbitan Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini, menegaskan realiti berlaku pada hari ini terjadinya perselisihan dan perbalahan isu ideologi politik.

Sama ada secara maya di media-media sosial mahupun berlaku di alam nyata dengan pendekatan fitnah, kecam mengecam, hina menghina, mencaci keperibadian seseorang, memperlekehkan individu, kumpulan atau organisasi tertentu.

Ia seolah-olah menjadi amalan biasa dalam kehidupan tanpa merasa bersalah atau berdosa. Apabila sesuatu isu hangat diperkatakan maka wujudlah pendekatan merendah-rendahkan maruah dan paling menyedihkan ia membuka keaiban sesama Muslim.

Oleh itu, akibat perbezaan dan perselisihan tanpa kita sedari telah menyakiti hati saudara-saudara kita. Perbezaan pandangan perlu didasari dengan semangat mencari kebenaran. Berbincanglah secara harmoni, bukan bertanding mencari yang menang atau yang kalah.

Sebaliknya, bermuafakatlah mencari kebenaran dan bermuhasabah atas kesilapan. Justeru, umat Islam perlu mengutamakan perhubungan ukhuwah Islamiyyah dengan menolak provokasi dan tindakan yang boleh mengundang fitnah dalam masyarakat.

Islam adalah ajaran yang menggalakkan umatnya berinteraksi, bergaul dengan menjalinkan hubungan baik, harmoni dan sejahtera dalam kehidupan.

Islam menitik beratkan permuafaktan dan perdamaian kerana mukmin yang sebenar sentiasa menjalinkan persaudaraan dengan bertegur sapa, menziarahi yang sakit atau kematian, menderma, kunjungmengunjung dan memenuhi jemputan.

Amalan ini dapat dilaksanakan tidak kira sesama Islam ataupun bukan. Oleh itu, langkah interaksi secara tepat apabila berhadapan dengan perbezaan pendapat atau ideologi politik adalah:

Pertama: Secara asasnya perlu meletakkan hubungan keluarga dan persahabatan mengatasi semua perkara termasuk politik. Islam meletakkan silaturrahim dan ukhuwah Islamiyyah mengatasi segalagalanya.

Kedua: Semaikan sifat berlapang dada dan suburkan rasa cinta sesama saudara Islam. Berlapang dada bermaksud bersabar, ikhlas dan reda menghadapi setiap ujian khususnya ujian menempuh pelbagai kesulitan hidup.

Umat Islam diajar berlapang dada dan belajarlah menerima kenyataan dalam semua perkara termasuk dalam berpolitik sekalipun yang sering menjadikan kita terlalu fanatik dan lupa adab sebagai seorang Muslim.

Bahkan Rasulullah SAW melarang kita membangkitkan bibit-bibit permusuhan. Ini kerana, ianya perkara sia-sia yang mengundang fitnah dan kebencian bahkan perbuatan fitnah dikecam keras oleh Rasulullah SAW

Ketiga: Tidak kira ideologi mana yang didukung dan disokong kita perlu terus bersatu sebagai rakan karib dan berkongsi harapan, impian dan tujuan yang sama untuk membangunkan negara. Ini kerana, kestabilan dan keharmonian negara perlu mempunyai persekitaran yang kondusif agar rakyat dapat hidup dengan aman dan sejahtera.

Sekiranyanegara berada dalam keadaan tidak stabil, maka akan muncul pihak dan musuh dari luar mahupun dalaman yang akan mengambil peluang dan kesempatan dengan niat untuk mengganggu gugat perpaduan dan kestabilan negara.

Keempat: Jauhilah diri daripada membuat fitnah dan kenyataan provokasi serta perbuatan yang menimbulkan ketegangan dan keresahan dalam masyarakat dengan menghina sesuatu kumpulan, budaya, etnik, organisasi atau agama dengan mencetuskan sentimen politik perkauman.

Kelima: Perbezaan tidak harus didasari oleh hawa nafsu sebaliknya berusahalah untuk mencari kebenaran dan keredaan Allah. Oleh itu, perbezaan tidak menjadikan kita berbalah apatah lagi bermusuhan.

Sebagai Muslim, kita juga perlu bijak menangani dan menguruskan perbezaan ideologi politik berdasarkan masa, situasi dan tempat. – Malaysiapost

Komen