Hasrat PN ‘goncang’ Pulau Pinang hanya angan-angan, sindir Guan Eng

Hasrat PN ‘goncang’ Pulau Pinang hanya angan-angan, sindir Guan Eng

PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng menyifatkan keyakinan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim bahawa Perikatan Nasional (PN) dapat ‘menggoncang’ Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sekadar angan-angan.

Dalam nada berseloroh, Guan Eng turut membayangkan kenyataan bekas Menteri Besar Perlis itu seumpama peribahasa ‘biarlah si luncai terjun dengan labu-labunya’.

“Biarkan si labu dengan… biarlah biar…kalau dia nak (goncang Pulau Pinang) biarlah dia dengan dia punya angan-angan dia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina DAP Pulau Pinang, malam tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng berkata, DAP belum membuat sebarang perbincangan dengan Barisan Nasional (BN) berhubung pembahagian kerusi dalam berdepan PRN akan datang.

Beliau turut berpendapat, perkara itu tidak akan didedahkan buat masa ini meskipun perbincangan mengenainya dilakukan kelak.

“Kalau adapun perbincangan (pembahagian kerusi) kita tidak akan dedahkan. Saya rasa tunggulah kita akan umumkan,” katanya.

Terdahul media melaporkan, PAS dan PN yakin akan kekal menguasai Kedah, Kelantan dan Terengganu pada PRN tidak lama lagi.

Malah, Shahidan berkata, gabungan itu juga mempunyai strategi tertentu untuk menawan Negeri Sembilan dan Selangor, selain yakin ‘menggoncangkan’ Pulau Pinang.

“InsyaAllah PN/PAS akan menguasai Kedah, Terengganu dan Kelantan, kita akan bergerak dengan aman dan damai ke Negeri Sembilan dan Selangor, (kita) ada strategi.

“Kita (juga) akan goncangkan Pulau Pinang… kita berjihad kerana Allah untuk pastikan usaha-usaha murni ini kita tonjolkan,” katanya. – Malaysiapost

Komen