‘Jangan sibuk jawatan TPM, bersedialah jadi Kluster Mahkamah 2.0’ – Isham

‘Jangan sibuk jawatan TPM, bersedialah jadi Kluster Mahkamah 2.0’ – Isham

KETUA Penerangan Umno, Isham Jalil mengingatkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu supaya tidak perlu sibuk dengan urusan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang langsung tiada kaitan dengan Bersatu.

Isham yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, berkata jawatan TPM itu adalah hak dan budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menentukannya.

“Faizal Azumu, saya cadang supaya kamu tidak perlu sibuk berkenaan urusan jawatan Timbalan Perdana Menteri, jawatan ini adalah hak dan budi bicara Perdana Menteri untuk menentukan, bukannya kamu atau parti kamu PPBM (Bersatu),” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Isham turut menyarankan Timbalan Presiden Bersatu itu serta pemimpin parti berkenaan bersedia untuk dihadap ke mahkamah berkaitan kes rasuah pengundi dan skandal penyalahgunaan dana kerajaan.

“Daripada kamu (Ahmad Faizal) sibuk dengan kes mahkamah orang lain dan pemimpin-pemimpin Umno yang telah berlangsung selama lebih empat tahun di mahkamah akibat pendakwaan-pendakwaan terpilih oleh pemimpin-pemimpin dari parti kamu dulu.

“Saya saran supaya kamu atau rakan-rakan dalam parti kamu bersedia untuk dihadap ke mahkamah pula dan menjadi Kluster Mahkamah 2.0 kini akibat kes rasuah pengundi dan skandal penyalahgunaan dana kerajaan yang terbesar dalam sejarah Malaysia,” katanya.

Menurut Isham, ketika Bersatu berada dalam kerajaan, pemimpin parti itu banyak terlepas daripada pendakwaan kes jenayah apabila wakil rakyatnya bertindak melompat parti.

“Adakah kamu rasa kamu atau rakan-rakan kamu akan dapat terlepas begitu sahaja lagi kali ini dengan mengalih perhatian kepada isu orang lain dan dengan memanggil rasuah kamu itu sedekah?

“Rakyat tidak akan lupa kes-kes ini. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Kamu perlu fokus kepada masalah kritikal kamu dan parti kamu ini.

“Sesiapa yang melakukan jenayah dan rasuah tidak boleh terlepas dari pengadilan di dunia atau di akhirat. Bersiaplah,” katanya.

Semalam, Bersatu menggesa agar Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi direhatkan dari tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Ahmad Faizal berkata, tindakan itu bagi memastikan perbicaraan 47 pertuduhan dihadapi Presiden Umno itu dapat diselesaikan tanpa kelewatan atau gangguan. – Malaysiapost

Komen