‘Kejayaan besar Najib ialah runtuhkan akhlak orang Melayu’ – Tun M

‘Kejayaan besar Najib ialah runtuhkan akhlak orang Melayu’ – Tun M

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa pihak yang menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu adalah di kalangan ‘pencuri’ yang menyogok duit kepada pengundi.

Dakwa Dr Mahathir, budaya sogokan dalam masyarakat Melayu ini diajar oleh Datuk Seri Najib Razak sekali gus menyebabkan bangsa itu kini tidak lagi malu melakukan perbuatan terkutuk.

Menurut Dr Mahathir lagi, kejayaan Najib yang besar ialah meruntuh akhlak orang Melayu.

“Najib mula dengan meyakinkan orang Melayu yang mereka tidak perlu rasa malu kerana Boss mereka curi duit. Kata Najib: “Nak malu apa, Bossku” apabila Najib curi duit Kerajaan.

“Maka pengikut setianya pun tidak berasa malu apabila mereka curi duit atau mereka dapat duit yang dicuri oleh Najib,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malah Dr Mahathir berpandangan, Najib yang mengajar orang Melayu supaya minta duit percuma termasuk dalam Pilihan Raya Umum (PRU).

“Dalam PRU orang Melayu rela disogok duit kerana duit yang didapati bukan kerana khidmat bekerja. RM100/- percuma lebih baik dari gaji RM2000/- sebulan kerana untuk gaji kerja diperlukan.

“Sebaliknya RM100/- untuk undi tidak perlu kerja. Tak bagi duit tak undi. Ini jawapan pengundi PRU15. Sebab itu yang tak bagi duit kalah.

“Yang menang dalam PRU15 ialah yang sogok duit. Yang mampu sogok ialah pencuri. Yang menang dan diri Kerajaan adalah pencuri. Apabila pencuri jadi Kerajaan, duit Kerajaan pun dicuri,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, dahulu orang Melayu berasa malu apabila dikesan mencuri, namun hari tersebut tidak lagi berlaku hari ini.

“Apa nak malu. Boss pun tak malu bila curi berbillion. Inikan pula sedikit sahaja. Nak malu apa.

“Inilah Melayu Najib. Sampai bila-bila pun Kerajaan Malaysia akan terdiri dari pencuri. Yang tak ada duit dan tidak sogok akan kalah. Benarlah Malaysia negara kleptokrasi – negara pencuri,” katanya.

Pada PRU15 lalu, Dr Mahathir gagal mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi selepas tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Mohd Suhaimi Abdullah dengan majoriti 11,225 undi. – Malaysiapost

Komen