Kes 1MDB: Ia kegagalan saya, kata bekas jurubank Najib

Kes 1MDB: Ia kegagalan saya, kata bekas jurubank Najib

BEKAS jurubank Datuk Seri Najib Razak memberi keterangan mengakui kegagalannya apabila berurusan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low berhubung akaun bank bekas Perdana Menteri ketika itu.

Bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping memberi keterangan lisan semasa perbicaraan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini terhadap Najib berhubung kes rasuah 1MDB bernilai RM2.28 bilion.

Saksi pendakwaan ke-41 itu membuat pengakuan berkenaan semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela utama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, lapor MalaysiaKini.

Peguam itu mengasaknya tentang sama ada dia mempunyai sebarang kuasa bertulis untuk berunding dengan Jho Low berhubung pengurusan akaun Najib, atau tidak sedangkan Nik Faisal Ariff Kamil adalah pemegang mandat yang diberi kuasa ke atas akaun perdana menteri ketika itu.

Semasa perbicaraan berasingan Najib berhubung kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta, Yu memberi keterangan bagi pihak pendakwaan bahawa dia kerap berunding melalui Blackberry Messenger (BBM) dengan Jho Low berhubung pengendalian akaun tertuduh.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan kes itu.

Bekas Ketua Pegawai Pelaburan 1MDB dan Ketua Pegawai Eksekutif SRC Nik Faisal, yang bersama Jho Low, sedang dicari oleh pihak berkuasa Malaysia untuk membantu siasatan berhubung skandal kewangan itu.

Shafee: Adakah terdapat kuasa bertulis untuk kamu menghubungi Jho Low berhubung akaun Najib?

Yu: Tidak. Tiada apa-apa dalam bentuk tulisan.

Shafee: Adakah kegagalan itu di pihak kamu sebagai seorang jurubank?

Yu: Ya. Ia adalah kegagalan saya.

Semasa perbicaraan, Muhammad Shafee juga menyoal jika Yu mengesyaki sesuatu tentang dakwaan surat daripada kerabat Arab Saudi yang mendakwa derma jutaan juta dolar akan diberikan kepada Najib. Yu berkata dia ketika itu tidak mengesyaki apa-apa.

Apabila Muhammad Shafee menyoal jika Yu bertanya kepada Najib secara langsung mengenai wang AS$620 juta yang mengalir ke dalam akaun perdana menteri itu pada 2013 (sebelum sebahagian besarnya dikeluarkan pada akhir tahun itu), dia berkata dia tidak menghubungi pemegang akaun tersebut secara langsung tetapi sebaliknya berurusan dengan Nik Faisal dan Low.

Sebelum ini, pasukan pembelaan membangkitkan isu tentang empat surat Arab Saudi yang didakwa menjanjikan lebih AS$1 bilion dolar kepada Najib.

Surat itu didakwa mengatakan bahawa pemberian tersebut tidak boleh ditafsirkan sebagai rasuah kerana ini bertentangan dengan amalan Islam dan ia sekadar tanda penghargaan peribadi kepada perdana menteri ketika itu untuk meneruskan kerja-kerja mempromosikan Islam di seluruh dunia.

Semasa prosiding di hadapan hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah, Muhammad Shafee juga membangkitkan isu penamatan perkhidmatan Yu daripada AmBank.

Dia menjelaskan bahawa tiada surat tunjuk sebab dikeluarkan kepadanya sebelum ditamatkan perkhidmatannya dengan bank berkenaan, dan terdapat banyak sebab di sebalik pemecatan itu.

Peguam itu kemudian memintanya untuk membawa surat pemberhentian tersebut ke mahkamah apabila perbicaraan disambung semula pada Isnin minggu depan.

Muhammad Shafee kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa pasukan pembelaan mahu Yu membawa surat penamatan perkhidmatan tersebut kerana ia berkaitan secara langsung dengan pembelaan tertuduh.

Najib berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana RM2.28 bilion 1MDB.

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib dikatakan melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa salah laku itu didalangi oleh Jho Low dan beberapa yang lain, tetapi dengan restu Najib.

Bagaimanapun, pasukan pembelaan tertuduh mendakwa Najib tidak mengetahui jenayah yang berlaku di 1MDB dan bahawa Jho Low, serta ahli pengurusan lain firma itu yang sebenarnya mendalangi penyelewengan berkenaan. – Malaysiapost

Kredit foto: Malay Mail

Komen