Kritik di media sosial, guru pendidikan khas diberi amaran
SEORANG guru pendidikan khas yang menyampaikan mesej terbuka kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam satu hantaran di laman media sosial beberapa hari lalu sudah diberi amaran.
Menurut Fadhlina, beliau dimaklumkan guru berkenaan diberi amaran oleh pegawai kerana mengkritik di media sosial.
Susulan itu beliau turut memohon agar dihentikan segera budaya mengkritik di media sosial dan sebaliknya menggunakan saluran yang betul.
“Pendekatan administratif yang baik hanya boleh dicapai apabila wujud ketelusan di peringkat bilik darjah, sekolah dan pejabat pendidikan.
“Guru pendidikan khas adalah barisan hadapan saya dalam membangun konsep madani dalam pendidikan khas. Kebimbangan beliau adalah kebimbangan saya.
“Ruang kritikan konstruktif penting sebagai proses semak dan imbang mengikut saluran, adab berbeza pandangan yang sentiasa meletakkan kepentingan serta kebajikan murid-murid, para guru dan tonggak profesionalisme yang memandu penjawat awam,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau merujuk mesej terbuka ditulis oleh Hasmadi Hamdan, Guru Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Reko, Kajang, Selangor.
Mesej yang ditulis khas untuk perhatian Menteri Pendidikan itu antaranya mengenai keluhan tiadanya wakil daripada guru-guru pendidikan khas dalam Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) yang dilantik baru-baru ini.
Turut dibangkitkan hal-hal berkaitan latihan guru pendidikan khas, latihan pengurusan Murid Berkeperluan Khas (MBK) untuk pembantu murid, sokongan terapi dan klinikal serta pengurusan sokongan pendidikan khas.
Selain itu, isu paling besar di pendidikan khas yang dibangkitkan adalah pelaksanaan Pentaksiran Alternatif Sekolah Menengah (PASM) yang didakwa terdapat banyak pertindihan hingga membebankan guru dan juga murid. – Malaysiapost