Landasan bengkok, LRT laluan Ampang alami kelewatan

Landasan bengkok, LRT laluan Ampang alami kelewatan

PERKHIDMATAN transit aliran ringan (LRT) laluan Ampang mengalami kelewatan atas faktor keselamatan akibat penjajaran landasan yang bengkok (kinked), berhampiran stesen LRT Bandaraya.

RapidRail dalam kenyataan memaklumkan, pemerhatian awal pihaknya mendapati masalah berlaku disebabkan kerosakan struktur jejambat dipercayai akibat kerja pembinaan di kawasan bersebelahan.

“Jurutera Rapid Rail sedang berada di kawasan terbabit bagi menilai keadaan bersama dengan pakar struktur bagi memastikan keselamatan dan kekukuhan.

“Atas faktor keselamatan, Rapid Rail membuat keputusan untuk menutup laluan diantara stesen Masjid Jamek dan stesen Bandaraya sehingga kekukuhan dan keselamatan dapat dipastikan,” menurut kenyataan itu.

RapidRail berkata, Perkhidmatan LRT Ampang akan dijalankan dengan kelajuan yang berkurangan sekali gus menyebabkan kelewatan perkhidmatan iaitu sembilan minit di dalam Daerah Pusat Perniagaan dan 18 minit di luar Daerah Pusat Perniagaan.

“Tren-tren dari Putra Heights akan berpatah balik di Plaza Rakyat, tren-ren dari Sentul Timur akan berpatah balik di Stesen Bandaraya. Manakala perkhidmatan ‘shuttle’ atau ulang-alik di antara stesen Plaza Rakyat dan Masjid Jamek,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, perkhidmatan bas alternatif telah diaktifkan bagi menampung penumpang.

“Ia termasuk di Stesen Bandaraya ke Plaza Rakyat; Stesen Plaza Rakyat ke Stesen Bandaraya; Stesen Sentul Timur ke Stesen Bandaraya; Stesen Bandaraya ke Sentul Timur.

“Anggota Polis Bantuan juga telah dikerah ke stesen-stesen utama bagi mengawal kesesakan. Rapid Rail memohon maaf diatas kelewatan ini dan kesulitan yang dialami oleh penumpang,” katanya. – Malaysiapost

Komen