MAIS tolak pemberian PrEP kepada pasangan Homosexual
MAJLIS Agama Islam Selangor (MAIS) menolak pemberian ubat PrEP (Pre-Exposure prophylaxis) yang digunakan untuk mencegah jangkitan HIV kepada pasangan homoseksual kerana ia bercanggah dengan ajaran Islam.
Bagaimanapun, Pengerusi MAIS, Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata pihaknya belum mengeluarkan sebarang fatwa berhubung larangan pemberian ubat berkenaan serta kajian mengenainya akan dilakukan.
“Pihak Jawatankuasa fatwa dan yang melibatkan undang-undang akan mengkaji perkara itu.
“Namun prinsip asasnya, untuk menggalakkan perbuatan tak senonoh homoseksual, tak sepatutnya (ia) di luar tabii manusia. Kita akan kaji perkara itu dan akan keluarkan kenyataan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perutusan Pengerusi MAIS 2023 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, hari ini.
Terdahulu, Jabatan Mufti Selangor melarang pemberian ubat PrEP yang digunakan untuk mencegah jangkitan HIV kepada pasangan homoseksual.
Perkara itu dinyatakan menerusi ruangan soal jawab agama di portal jabatan itu, dengan menegaskan pengambilan atau pemberian ubat itu hanya diharuskan kepada pasangan suami isteri.
“Iaitu dalam keadaan salah seorang daripada mereka telah dijangkiti HIV sewaktu melakukan hubungan suami isteri.
“Pemberian kepada mereka yang diketahui mengamalkan cara hidup homoseksual adalah dilarang kerana dianggap bersubahat dalam perkara dosa dan kemaksiatan,” kata Jabatan itu.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melakukan projek rintis penggunaan ubat PrEP di beberapa hospital bagi menilai keberkesanan dan keselamatannya dalam mengurangkan risiko penularan jangkitan HIV.
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa, berkata projek rintis itu perlu dilaksanakan sebelum ubat berkenaan diperakukan oleh kementeriannya untuk kegunaan awam.
“Penggunaannya sudah dikaji. Kita telah bincang dengan pakar agama untuk tahu dari sudut hukum dan sebagainya,” katanya. – Malaysiapost