Malaysia kutuk satu lagi tindakan bakar al-Quran
MALAYSIA mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keji mencemarkan al-Quran oleh Edwin Wagensveld, seorang ekstremis, anti-Islam dan pemimpin berhaluan kanan di The Hague, Belanda pada 22 Januari lalu.
Kementerian Luar Negeri, dalam satu kenyataan hari ini, menyatakan Malaysia kecewa melihat perbuatan Islamofobia yang berulang hanya dalam beberapa hari, meskipun mendapat kecaman global.
“Ketaksuban dan perbuatan jenayah yang dilakukan terhadap Islam mesti dihentikan segera.
“Malaysia mengulangi pendirian bahawa sifat perkauman dan sebarang bentuk penghinaan terhadap Kitab Suci, tanpa mengira agama adalah tidak boleh diterima sama sekali dan harus dikecam.
“Malaysia amat percaya bahawa hak kebebasan bersuara adalah bersekali dengan tanggungjawab tertentu dan tidak boleh disalah guna,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, Malaysia turut menggesa semua pihak yang berkaitan untuk mengambil langkah-langkah untuk menggalakkan lagi dialog, persefahaman dan mempromosikan semangat hidup bersama secara aman dalam dunia berbilang agama dan budaya.
“Ia untuk mencapai keamanan dan keharmonian di kalangan masyarakat dunia yang pelbagai,” katanya.
Malaysia juga menyeru Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) untuk segera menangani isu yang membimbangkan itu.
“Penyelesaian terbaik perlu dicari dalam mempromosikan penghormatan dan perlindungan sepenuhnya ke atas Kitab Suci agama di seluruh dunia,” menurut kenyataan itu lagi.
Terdahulu, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Islamofobia oleh Rasmus Paludan, ahli politik sayap kanan Sweden yang membakar al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, Sweden pada 21 Januari lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menggesa Kerajaan Sweden mengambil langkah drastik pada masa depan dalam menangani peningkatan membimbangkan Islamofobia di negara berkenaan. – Malaysiapost