Mayat remaja lemas ditemui
REMAJA lelaki berusia 18 tahun yang dilaporkan hilang selepas mandi di Sungai Parit Haji Anuar, Batu 18, Ayer Hitam, Bakri, di sini, petang kelmarin, ditemui lemas, pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor dalam satu kenyataan, memaklumkan mangsa ditemui kira-kira jam 10.30 pagi oleh pasukan pencarian.
Menurutnya, operasi mencari mangsa disambung pada jam 9 pagi tadi termasuk tiga Unit Anjing Pengesan (K9) dengan satu bot aluminium, satu bot fiber dan disertai dua buah bot nelayan dengan menyusuri sungai.
“Mangsa dijumpai oleh nelayan pada jam 10.30 pagi dalam jarak 7.57 kilometer dari tempat mangsa dipercayai lemas dan dibawa menggunakan bot aluminium ke Pos kawalan dan diserahkan untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.02 tengah hari,” katanya.
Terdahulu media melaporkan bomba menerima panggilan kecemasan orang lemas pada jam 3.42 petang Rabu lalu di Jalan Parit Haji Anuar Kampung Parit Haji Anuar.
Mangsa dikhuatiri lemas ketika melakukan aktiviti mandi di sungai bersama dua lagi rakannya. – Malaysiapost