Pengambilan jawatan tetap pegawai pergigian, farmasi kini dibuka

Pengambilan jawatan tetap pegawai pergigian, farmasi kini dibuka

PEGAWAI pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak bagi tahun 2016 dan 2017 kini boleh memohon jawatan tetap di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bermula 30 Januari hingga 12 Februari ini.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, permohonan itu boleh dibuat melalui Sistem Pendaftaran Pekerjaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (Sistem SPA9).

“Proses ini susulan urusan pengambilan jawatan tetap pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan tahun 2018 hingga 2020 yang telah dibuka menerusi Sistem SPA9 dari 6 Januari hingga 21 Januari lalu.

“Seramai 242 pegawai pergigian dan 321 pegawai farmasi lantikan kontrak tahun 2016 dan 2017 layak memohon jawatan tetap yang ditawarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pegawai lantikan kontrak yang berkenaan disarankan melayari portal Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk berdaftar atau mengemas kini maklumat permohonan dalam Sistem SPA9.

“KKM berharap pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak tahun 2016 dan 2017 dapat membuat persediaan sewajarnya bagi urusan pengambilan ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen