Perkeso selaras kos sara hidup, pencen minimum
PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso), melaksanakan pelarasan kos sara hidup bagi semua penerima faedah berkala dan kenaikan kadar pencen minimum di bawah Skim Keilatan Perkeso, berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata perlaksanaan inisiatif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 456,000 penerima faedah Perkeso.
Menurutnya, mereka adalah penerima faedah-faedah di bawah Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan di bawah Akta 4 iaitu Faedah Hilang Upaya Kekal, Faedah Orang Tanggungan, Pencen Ilat dan Pencen Penakat
“Pelarasan yang dilaksanakan kepada faedah berkala dan pencen yang dibayar kepada penerima faedah ini berupaya membantu mereka menangani peningkatan kos barangan dan perkhidmatan serta meneruskan kelangsungan hidup mereka.
“Inisiatif pelarasan kos sara hidup bagi penerima faedah berkala sedia ada dan kenaikan kadar pencen minimum adalah lanjutan daripada Kajian Penilaian Aktuari ke-11 oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO)
“Ia mengambil kira keadaan sosial dan ekonomi semasa di Malaysia, kesan daripada pandemik COVID-19, peningkatan kos sara hidup dan kenaikan kadar inflasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua langkah berkenaan akan melibatkan perbelanjaan sebanyak kira-kira RM 234 juta.
Menurutnya, pelarasan kos sara hidup untuk faedah berkala Perkeso kali ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 400,000 penerima faedah dan membabitkan anggaran perbelanjaan berjumlah RM213 juta.
“Sejak 1977 sehingga kini, pelarasan kos sara hidup bagi bayaran faedah berkala Perkeso telah dibuat sebanyak 12 kali di bawah Skim Bencana Pekerjaan dan 10 kali di bawah Skim Keilatan.
“Kadar pelarasannya pada 1 Januari 2023 adalah antara 0.7 peratus hingga 9.4 peratus mengikut tarikh terakru (tahun pencen diterima) iaitu tahun 2015 (8.4), tahun 2016 (6.2), tahun 2017 (2.3), tahun 2018 (1.3) dan tahun 2019 (0.7),” katanya
Sementara itu, Mohammed Azman berkata pelaksanaan kenaikan kadar pencen minimum di bawah Skim Keilatan ditingkatkan daripada kadar sedia ada iaitu sebanyak RM475 sebulan kepada RM550 sebulan.
“Peningkatan ini akan memanfaatkan kira-kira 56,000 penerima faedah dalam membantu mereka menangani peningkatan kos sara hidup. Peningkatan ini akan melibatkan perbelanjaan sebanyak kira-kira RM21 juta.
“Adalah menjadi harapan Perkeso agar kedua-dua inisiatif ini akan dapat meringankan beban kewangan, meningkatkan kesejahteraan dan memenuhi keperluan sosio-ekonomi penerima-penerima faedah Perkeso,” katanya. – Malaysiapost