Sindiket bekal pekerja asing guna PLKS palsu tumpas

Sindiket bekal pekerja asing guna PLKS palsu tumpas

SINDIKET membekalkan pekerja asing menerusi Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu, yang didalangi warga tempatan dan warga Bangladesh berjaya ditumpaskan dalam empat serbuan dijalankan Jabatan Imigresen di Klang, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata sindiket berkenaan dipercayai sudah beroperasi sejak lapan bulan lalu dan mengaut keuntungan sehingga RM880,000.

Menurutnya, sindiket berkenaan mengenakan caj antara RM5,000 dan RM6,000 setiap seorang warga asing bagi mendapatkan pelekat PLKS.

Beliau berkata, serbuan hasil risikan tiga bulan dan penyamaran anggota penguatkuasa imigresen sebagai pekerja asing serta majikan, berjaya menahan tujuh suspek berusia 28 hingga 50 tahun termasuk warga Bangladesh yang menjadi dalang utama.

Katanya, tangkapan membabitkan seorang lelaki tempatan dan lima lelaki warga Bangladesh serta seorang wanita tempatan yang berkahwin dengan seorang daripada warga Bangladesh berkenaan.

“Modus operandi sindiket ialah pasangan suami isteri terbabit menubuhkan syarikat pembinaan dengan tujuan mengaburi pihak berkuasa, syarikat atau majikan yang memerlukan tenaga kerja serta pekerja asing yang terdesak untuk mendapatkan majikan.

“Sindiket menyasarkan warganegara asing yang tidak mempunyai PLKS yang sah atau mereka yang tidak mempunyai sebarang dokumen,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, turut dirampas 62 pasport pelbagai negara serta 17 pasport Bangladesh disyaki palsu, 13 PLKS disyaki palsu dan wang tunai berjumlah RM 234,000 serta kenderaan pacuan empat roda bernilai RM120,000.

Menurutnya, kesemua suspek disiasat mengikut Akta Pasport 1966, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

“Lima daripada suspek yang juga warganegara asing ditahan di Depot Imigresen Putrajaya manakala dua suspek warganegara Malaysia ditahan untuk siasatan di bawah akta yang sama,” katanya. – Malaysiapost

Komen