Tun M yang main politik wang, dakwa Isham
KETUA Penerangan Umno, Isham Jalil mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad adalah individu sebenar yang mengajar permainan politik wang sehingga ia menjadi penyakit sistemik di negara ini.
Kenyataan Isham itu susulan daripada ‘serangan’ terbaharu Dr Mahathir hari ini, mendakwa kejayaan terbesar Datuk Seri Najib Razak ialah meruntuh akhlak orang Melayu serta mengajar bangsa itu meminta duit percuma.
Isham berkata, walaupun Dr Mahathir mendakwa kononnya beliau bersih daripada permainan politik wang namun malangnya tiada orang yang percaya.
“Tun, Najib telah masuk penjara kerana pendakwaan terpilih Tun namun Tun masih meratib nama dia. Dia masih naik turun mahkamah untuk membersihkan namanya daripada tuduhan-tuduhan Tun.
“Tapi yang patut dan masih belum masuk penjara lagi adalah Tun dan (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin). Sebab Tun dan Muhyiddin lah besar kemungkinannya adalah penyakau terbesar dalam sejarah Malaysia,” katanya menerusi Facebook.
Menurut Isham lagi, suatu ketika dahulu Dr Mahathir pernah mendakwa Muhyiddin adalah ahli politik paling kaya di Malaysia, selain berkias bahawa Ahli Parlimen Pagoh itu banyak terlibat dengan rasuah.
“Hakikatnya Tun dan Muhyiddin kedua-duanya sama. Jika Malaysia ingin maju ke hadapan, reform yang perlu dibuat di negara ini adalah membersihkannya daripada sistem politik wang dan rasuah yang Tun bawa dulu. Tun perlu akui perkara ini dan muhasabah diri.
“Tun kata Tun sudah tua, maka buanglah segala kebencian di hati itu supaya Tun dihormati semula seperti semasa Tun awal-awal masuk politik dahulu. Jika tidak, kebencian itu yang akan menghitamkan lagi hati dan jiwa Tun sehingga ke akhir hayat,” katanya.
Terdahulu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengulangi dakwaan beliau Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dicemari perbuatan menyogok wang kepada pengundi Melayu.
Beliau mendakwa gejala itu berlaku disebabkan Najib telah berjaya meruntuhkan akhlak orang Melayu.
“Sekarang orang Melayu tidak lagi berasa malu apabila melaku perbuatan terkutuk. Najib mula dengan meyakinkan orang Melayu yang mereka tidak perlu rasa malu kerana ‘Boss’ mereka curi duit,” kata Dr Mahathir. – Malaysiapost