Umno gantung keahlian Noh Omar 6 tahun

Umno gantung keahlian Noh Omar 6 tahun

MESYUARAT Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, malam ini memutuskan untuk menggantung keahlian bekas Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar selama enam tahun.

Noh yang juga ahli MKT Umno mengesahkan keputusan itu, namun beliau mencabar Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya memecat terus keahliannya daripada parti.

Bercakap kepada media di luar Ibu Pejabat Umno, di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, Noh berkata, pada asalnya dia digantung keahliannya selama enam tahun.

Beliau bagaimanapun memberitahu MKT jika digantung selama enam tahun adalah lebih baik parti itu memecat saja keahliannya.

Perkara itu turut disahkan oleh Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil yang memaklumkan Noh telah meminta untuk dipecat.

“Tan Sri Noh Omar telah meminta untuk dipecat di mesyuarat MKT Umno malam ini setelah Lembaga Disiplin Umno meneliti dan membuat keputusan untuk menggantung keahlian beliau atas sebab pelanggaran disiplin mengikut Perlembagaan Umno semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lepas,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Sementara itu difahamkan terdapat juga ahli Umno yang dipecat pada malam ini, namun belum dapat dipastikan siapa dan kesahihannya.

Semalam, Ahmad Zahid memaklumkan akan ada pembersihan besar-besaran terhadap mereka yang mensabotaj parti dan calon pada PRU-15 yang lalu. – Malaysiapost

Komen