‘Akhirnya KJ yang dipecat sebelum saya’ – Lokman Adam
BEKAS Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam, menyindir bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin kerana tidak sempat memecatnya, sebaliknya beliau terlebih dulu dipecat daripada parti.
Menurutnya, sebelum ini Khairy pernah menyatakan hasrat untuk memecat beliau sekiranya menjadi Presiden Umno kononnya mempunyai IQ rendah kerana mempertahankan bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.
Malah, katanya, Khairy turut mengelar beliau sebagai ‘Lobakman’, satu gelaran yang melekat sehingga kini.
“Semalam, Allah tunjukkan siapa sebenarnya yang IQ rendah, bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) mewakil Umno, bantai Umno kata Umno parti sakit dan sesat lima hari terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sehingga ramai calon BN yang lain terjejas teruk.
“Akhirnya dia yang dipecat sebelum dia sempat pecat saya.
“Apapun, lobak tu bagus untuk mata, bila mata terang, kita boleh nilai yang mana kaca dan yang mana permata,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Dalam mesyuarat MKT Umno malam tadi, parti itu memecat keahlian Khairy dan juga bekas Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar.
MKT Umno turut menggantung keahlian Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Maulizan Bujang, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan Shahril Sufian Hamdan.
Selain itu, Ahli MKT Umno, Datuk Fathul Bari Mat Jahya diberikan surat tunjuk sebab. – Malaysiapost