Anwar arah cetak sejuta al-Quran, reaksi perbuatan biadap Paludan
MALAYSIA akan mencetak sejuta naskhah al-Quran untuk diedarkan ke seluruh dunia sebagai tindak balas susulan pembakaran kitab suci itu yang dilakukan ahli politik, Rasmus Paludan di Sweden, baru-baru ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia sebagai langkah menyebarkan kefahaman mengenai al-Quran supaya kandungannya dapat dihayati semua pihak tanpa mengira latar belakang fahaman dan agama.
“Saya setuju cara paling berfaedah menjawab kerja-kerja gila dan biadab ini ialah meneruskan usaha yang telah dikeluarkan dan kita bertekad Insya-Allah dalam masa singkat cetak dan mengedar sejuta al-Quran ke seluruh dunia.
“Dan disusuli beberapa program kearah pemahaman dan penghayatan al-Quran dengan mesej dan risalah yang jelas,” katanya pada Pameran Seni al-Quran dan Himpunan Artifak Dunia Islam Terbesar anjuran Yayasan Restu di Nasyrul Quran, hari ini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Anwar berkata, proses mencetak al-Quran telah bermula dan kerajaan akan mengedarkan kitab suci itu serta menghubungi negara Islam lain bagi tujuan pengedarannya.
“Sebahagian besar (peruntukan) dari kerajaan, kita akan rujuk majlis agama, tentunya kita akan hubungi rakan-rakan kita negara Islam yang lain,” katanya.
Sabtu lalu, Paludan iaitu pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line ketika menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, membakar al-Quran dengan pemetik api.
Beliau bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). – Malaysiapost
Kredit foto: Utusan Malaysia