Bersatu, Gerakan sedia terima KJ sebagai ahli
DUA parti dalam Perikatan Nasional (PN) secara terbuka menyatakan kesediaan menerima bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin untuk menyertai parti mereka.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti itu sedia membuka ruang dan mempertimbangkan sekiranya ada pemimpin Umno yang dipecat mahu menyertai mereka.
Katanya, Khairy bersama pemimpin Umno lain yang dipecat, boleh mengemukakan permohonan mereka untuk dibincangkan oleh majlis tertinggi parti itu.
“Khairy ini bijak pandai dan ramai suka dan mereka (yang dipecat) ini saya kenal (jadi) terserah kepada mereka kalau mereka rasa sesuai (sertai Bersatu).
“Bukan saya nak memuji, tetapi ketika dia (Khairy) bersama saya dan kerajaan dahulu saya lantik dia jadi menteri walaupun parti tidak menamakan dia dulu. Jadi, kita kenal dia bijak orangnya dan politik pun boleh tahan matang.
“Kalau Khairy berhasrat untuk bersama menyertai (Bersatu), dia boleh buat permohonan, berbincang dan kita akan pertimbangkan secara baik,” katanya dipetik Astro AWANI.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pemuda Gerakan, Wong Chia Zhen mempelawa Khairy menyertai parti itu dan berpandangan beliau seorang ahli politik yang berkaliber.
“Apa yang menimpa Khairy tidak sepatutnya berlaku kerana beliau membuktikan antara menteri paling menyerlah semasa era pandemik Covid-19.
“Kami mengalu-alukan beliau sebagai ahli Gerakan. Walaupun beliau pernah memainkan isu perkauman, kononnya pengundi Melayu di Pulau Pinang tidak diberi perhatian yang cukup ketika masih lagi dalam Pemuda, kami sanggup memaafkannya.
“Kita semua manusia, manusia mesti pernah buat salah. Kami mengalu-alukan keahlian Khairy ke dalam Gerakan,” katanya dipetik Utusan Malaysia.
Katanya, ideologi Gerakan berteraskan kesederhanaan dan dengan kredibiliti yang ada pada Khairy, parti itu yakin dapat memberi nafas baharu kepadanya. – Malaysiapost