‘Empat kali Khairy mohon maaf pada Zahid’
Aiman Hanif
EMPAT kali Khairy Jamaluddin memohon maaf kepada Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung kritikannya secara terbuka terhadap parti dan pemimpin utama Umno.
Seorang pemimpin tertinggi Umno yang enggan namanya didedahkan, berkata ia membuktikan bahawa Ahmad Zahid sudah cukup sabar melayan karenah bekas Ketua Pemuda Umno itu.
“Empat kali dalam tempoh empat tahun ini Khairy bertemu Presiden Umno memohon maaf kerana mengkritik kepimpinan dan parti.
“Zahid seorang yang cukup sabar, beliau memaafkan Khairy meskipun beberapa kali dikritik secara agresif oleh bekas ahli Parlimen Rembau itu.
“Kalau kita di tempat Zahid, saya rasa sudah lama kita tidak maafkan perbuatan sedemikian,” katanya kepada Malaysiapost.
Malam tadi, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno membuat keputusan memecat Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda Umno, dan ahli MKT, Tan Sri Noh Omar, selain beberapa lagi pimpinannya digantung.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata mereka dipecat kerana melanggar disiplin parti sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan penyandang Timbalan Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan Suffian pula digantung selama enam tahun.- Malaysiapost