Ingatkan bom, rupa-rupanya beg gelandangan…

Ingatkan bom, rupa-rupanya beg gelandangan…

PENEMUAN bagasi mencurigakan mengemparkan orang ramai yang menyangka mengandungi bom di kawasan stesen transit aliran ringan (LRT) SS17 di Subang Jaya, sebelum menghubungi Unit Pemusnah Bom (UPB) bagi membuat pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata bagasi berkenaan ditemukan orang awam kira-kira jam 4 petang semalam, sebelum dilaporkan kepada Unit Rondaan Bermotosikal (URB)

Beliau berkata, permintaan bantuan daripada UPB dibatalkan selepas seorang lelaki dipercayai gelandangan menuntut bagasi berkenaan.

“Selepas dimaklumkan penemuan itu, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya meminta bantuan UPB untuk memeriksa beg yang berantai dan berkunci berkenaan.

“Kira-kira 30 minit kemudian, bantuan dari pihak UPB terpaksa dibatalkan kerana seorang lelaki tempatan berusia lebih kurang 50 tahun datang menuntut dan menyatakan beg berkenaan miliknya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati lelaki terbabit adalah gelandangan yang sentiasa berpindah-randah dari satu tempat ke tempat lain.

“Pemeriksaan ke atas bagasi berkenaan juga mendapati hanya terdapat pelbagai pakaian milik lelaki gelandangan berkenaan.

“Polis menasihati orang ramai jika menemukan beg atau bungkusan yang mencurigai supaya terus menghubungi polis bagi tujuan keselamatan,” katanya. – Malaysiapost

Komen