‘Merayu? harap kita ‘u turn’ sorrylah’ – Shahril Hamdan

‘Merayu? harap kita ‘u turn’ sorrylah’ – Shahril Hamdan

NAIB Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan yang digantung keahlian selama enam tahun menegaskan tidak akan membuat ‘pusingan U’ atau merayu kepada Lembaga Disiplin parti.

Bekas Ketua Penerangan Umno itu berkata, sukar untuk beliau berbuat demikian kerana proses tindakan yang diambil parti terhadapnya tidak mengikut prosedur yang sepatutnya.

“Semalam saya digantung enam tahun oleh Umno, saya tidak dapat apa-apa surat, saya pun tak tahu sebab apa mereka gunakan untuk ambil tindakan ini.

“Sebab itu apabila orang cakap buat rayuan, saya ingat rayu pun nak buat rayuan macam mana, sedangkan prosedur asal pun tak betul, takkan rayuan pula tiba-tiba jadi okay.

“Mungkinlah mereka mengharapkan kita ‘u turn’, kita berdiam diri, kita ikut. Sorrylah saya tak boleh buat perkara itu,” katanya dalam rakaman video yang
dimuat naik dalam Facebook hari ini.

Jelas Shahril, walaupun masih sayangkan ahli Umno dan persahabatan yang tercipta, sukar untuk beliau menerima tindakan tatatertib yang dijatuhkan ke
atasnya.

“Semua ini tidak mengubah hakikat bahawa benda ini susah untuk saya telan. Memang kita nak tunjuk kita ‘fighter’ dan saya nak jadi ‘fighter’ tapi hakikatnya saya
manusia biasa.

“Tiba-tiba dibuat sebegini. Bukan mudah untuk ditelan tetapi inilah kehidupan, inilah politik,” katanya.

Shahril berkata, buat masa ini beliau masih belum membuat sebarang keputusan berhubung langkah yang akan dilakukannya selepas ini.

“Insya-Allah Shahril Hamdan kalau dah jadi ‘fighter’ (pejuang) kita takkan ‘gostan’ (patah balik),” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan, hukuman itu tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus menyumbang kepada pembangunan agama, bangsa dan tanah air yang lebih murni.

Shahril antara empat yang digantung keahlian selama enam tahun kerana didakwa melanggar disiplin parti, selain bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Ketua Umno Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Ketua Umno Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Shariff.

Dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam tadi, parti itu turut memecat keahlian bekas Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin. – Malaysiapost

Komen