Muqharabbin letak jawatan Exco Pemuda Umno
DATUK Muhamad mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Exco Pemuda Umno Pusat dan bahagian Lembah Pantai serta-merta.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Qobin berkata, surat rasmi peletakan jawatannya akan diserahkan dalam masa terdekat.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada sahabat Umno yang bersama saya dalam perjuangan sejak 2018 hingga kini.
“Kita tetap bersahabat selamanya dan menjaga ukhwah sesama kita. Selamat maju jaya buat semua sahabat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, Qobin tidak menyatakan punca keputusan itu dibuat, kecuali menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan terbaharu Umno yang didakwa tidak lagi mengamalkan demokrasi.
Semalam, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno membuat keputusan memecat keahlian Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Noh Omar.
Selain itu, bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersama Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Sufian; Ketua Umno Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan Ketua Umno Bahagian Tebaru, Datuk Maulizan Bujang digantung enam tahun.
Sementara, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohamad yang juga Ketua Umno Bahagian Pontian pula digugurkan daripada jawatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor. – Malaysiapost