“Parti tak siuman sedang ghairah pecat orang” – Shahidan Kassim
PERIKATAN Nasional (PN) akan membela nasib individu yang dipecat oleh parti mereka, kata Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim.
Dalam satu hantaran di Facebook, Shahidan bagaimanapun tidak menamakan mana-mana parti atau individu yang dipecat berkenaan, namun dipercayai merujuk kepada ‘pembersihan’ yang dibuat oleh parti Umno malam tadi.
“Sebuah parti tidak siuman sedang ghairah pecat orang.
“Sabar yang kena pecat. Kami akan beri pembelaan. Hidup PN,” katanya yang pernah dipecat daripada Umno pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.
Shahidan yang juga Ketua Umno Bahagian Arau ketika itu dipecat kerana tetap bertanding walaupun namanya digugurkan oleh Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau nekad untuk bertanding di Parlimen Arau atas tiket PN dan kemudian berjaya mempertahankan kerusi yang disandangnya itu dengan menumpaskan calon Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 23,216 undi.
Terdahulu Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan malam tadi mengesahkan bekas Pengerusi Perhubungan Umno Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dipecat daripada Umno.
Kedua-dua mereka dipecat parti disebabkan pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO kerana kesalahan sewaktu PRU-15 yang lalu.
Ahmad turut mengumumkan ahli Umno yang digantung hak-haknya dalam parti selama enam tahun iaitu Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Maulizan Bujang, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan Shahril Sufian Hamdan. – Malaysiapost