‘Pembersihan’ Umno hanya akan hasilkan lebih banyak ‘kotoran’ – Annuar Musa

‘Pembersihan’ Umno hanya akan hasilkan lebih banyak ‘kotoran’ – Annuar Musa

BEKAS Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan tindakan Umno memecat dan menggantung pemimpin dan ahlinya tidak akan mampu ‘membersihkan’ parti itu.

Sebaliknya beliau berkata, ‘pembersihan’ yang kononnya dilakukan Umno hanya akan menghasilkan lebih banyak ‘kotoran’ kerana punca sebenar kotoran kekal berpaut dalam parti itu.

“Mereka bangga memonopoli kuasa dalam parti, menunggang parti berasaskan naratif palsu yang mereka reka sendiri.

“Biarpun parti semakin hancur akibat kerja dan tunggangan mereka. Mereka mencipta penipuan dan akhirnya mereka sendiri percaya kepada penipuan yang direka.

“Namun sesiapa yang cuba berkata benar, itu semua akan di gelar pengkhianat,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Annuar turut meminta semua pemimpin Umno yang dipecat dan digantung, supaya bertenang dan bersabar selain terus kekal berprinsip.

“Memecat orang yg tidak bersependapat, adalah cara paling mudah untuk seseorang kekal berkuasa. Percayalah, berkata benar itu mahal harganya.

“Jika baik pimpinannya, maka betul dan baiklah perjuangannya. Jika salah pimpinan, asas dan matlamat sudah dibuang jauh, tersasarlah perjuangan,” katanya.

Malah, Annuar berkata, rakyat ketika ini dilihat sudah meninggalkan Umno dan sudah tiba masanya untuk ahli untuk turut meninggalkan parti secara beramai-ramai.

“Berilah Umno kepada mereka untuk mereka jadikan perisai peribadi dan perniagakan sebagai syarikat sendirian berhad mereka. Perjuangan tetap kita teruskan, cara kita,” katanya.

Pada 8 Disember lalu, Annuar yang juga bekas Ketua Umno Bahagian Ketereh, dipecat sebagai ahli Umno susulan kelantangannya mengkritik parti dan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. – Malaysiapost

Komen