Pemecatan, penggantungan pemimpin Umno ada kecacatan, tidak ikut proses – Ismail Sabri
PEMECATAN dan penggantungan beberapa pemimpin Umno malam tadi, tidak melalui proses yang sewajarnya selain terdapat kecacatan.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menjelaskan beliau dimaklumkan bahawa Lembaga Disiplin juga tidak pernah menasihatkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mengambil tindakan sedemikian.
Beliau berkata, sebaliknya hanya dimaklumkan mengenai terdapat laporan dibuat terhadap pemimpin yang dituduh.
“Sebagai sebuah parti bertamadun, Umno mesti dilihat telus dalam membuat sebarang tindakan.
“Saya tidak setuju dengan keputusan itu atas alasan pemecatan dan penggantungan dibuat dengan tidak mematuhi proses perundangan serta bertentangan dengan prinsip ‘natural justice’ seperti membela diri,” katanya menerusi hantaran di Instagramnya, malam ini.
Ismail Sabri menjelaskan, tiada surat tunjuk sebab bagi yang dituduh mengetahui pertuduhan terhadap mereka, selain tidak diberi ruang menjawab pertuduhan melalui surat tunjuk sebab.
“Jika yang menuduh tidak puas hati, maka yang dituduh perlu dirujuk kepada pendengaran dalam jawatankuasa disiplin bagi mempertahankan diri. Beliau boleh membawa saksi, tuduhan perlu dibuktikan.
“Jika jawatankuasa disiplin mendapati yang dituduh bersalah atau sebaliknya, maka jawatankuasa disiplin perlu memberi cadangan kepada jawatankuasa pengurusan Umno.
“Jawatankuasa pengurusan Umno perlu berbincang dan membawa cadangan ke MKT untuk keputusan. Proses ini tidak dilaksanakan,” katanya.
Malam tadi, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memutuskan untuk memecat bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Ahli MKT Umno, Tan Sri Noh Omar.
Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan pula digantung keahlian selama enam tahun.
Ketua Umno Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang, Ketua Umno Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif juga berdepan nasib sama digantung keahliannya.
Sementara Ahli MKT, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya diberi surat tunjuk sebab. – Malaysiapost