‘Pernah KJ fikir kesan kepada parti bila bercakap’

‘Pernah KJ fikir kesan kepada parti bila bercakap’

Aiman Hanif

Keputusan Umno memecat serta menggantung keahlian beberapa pemimpinnya termasuk ‘nama besar’ bertujuan untuk menoktahkan pertelagahan serta mengembalikan kewibawaan parti.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Razlan Rafii, berkata tiada pemimpin yang lebih besar daripada parti.

Katanya, pemimpin nama besar Umno mempunyai tanggungjawab memelihara keutuhan parti dan perlu mengambil kira kesan terhadap organisasi itu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Nama-nama besar semua ada tanggungjawab…tanggungjawab pada diri dan parti jika kita buat kenyataan yang popular, tapi tidak menguntungkan parti itu tidak bertanggungjawab.

“Nama-nama besar sepatutnya fikir terlebih dulu (sebelum mengeluarkan kenyataan). KJ (Khairy Jamaluddin) kata parti ini (Umno) telah sesat.

“Bila dia buat kenyataan sebegitu, apakah KJ telah fikir kesan kepada parti.Kesan daripada kenyataan nama besar itu menyebabkan orang melihat parti ini caca marba,” katanya ketika ditemui Malaysiapost.

Malam tadi, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno membuat keputusan memecat Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda Umno, dan ahli MKT, Tan Sri Noh Omar, selain beberapa lagi pimpinannya digantung.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata mereka dipecat kerana melanggar disiplin parti sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan penyandang Timbalan Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan Suffian pula digantung selama enam tahun.

Dalam pada itu, Razlan berkata empat tahun Umno melayan karenah pemimpinnya yang mencetuskan pertelingkahan serta pergaduhan pendapat.

Oleh itu katanya, usaha mengembalikan keyakinan rakyat perlu dilakukan bermula sekarang dengan menoktahkan segala masalah dalaman.

“Selama empat tahun kita sibuk layan karenah pemimpin kita sendiri, ada saja kenyataan yang tidak berdisiplin yang menunjukkan pergaduhan pandangan, pendapat.

“Orang tidak akan yakin kalau kita (Umno) ini tidak menunjukkan penyatuan dan kesatuan.

“Apa yang kita lakukan hari ini pada pandangan saya, kita kena ada gerak kerja lima tahun untuk kembalikan keyakinan rakyat,” katanya lagi.- Malaysiapost

Komen