Pihak berkuasa tidak akan lengahkan siasatan, dakwaan kes rasuah – PM
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya pihak berkuasa tidak akan melengah-lengahkan siasatan atau pendakwaan terhadap individu yang terbabit dengan rasuah.
Perdana Menteri berkata, bukan menjadi tugas beliau untuk menjalankan siasatan atau pendakwaan selain percaya pihak berkuasa yang terbabit tidak akan melambat-lambatkan perkara itu.
“Kelangsungan hidup orang Melayu bukan dicabar oleh kaum lain. Sebaliknya, oleh pemimpin negara yang tamak dan mencuri dari dana awam.
“Saya bukan lagi bercakap sebagai pemimpin pembangkang, tetapi melihat sendiri kertas kerja dan perkembangan beberapa tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di Wisma Chinese Chamber, hari ini.

Sementara itu, menerusi hantaran di Facebooknya, Anwar berkata, tumpuan utama kerajaan ketika ini adalah untuk mengembalikan keyakinan pelabur dan mengukuh serta memperkuat sistem ekonomi negara.

“Malaysia di bawah Kerajaan hari ini akan terus menerapkan nilai serta etika pemerintahan dan kebertanggungjawaban yang tinggi tanpa mengesampingkan hak mana-mana kaum di negara ini,” katanya. – Malaysiapost