PN sedia terima pemimpin Umno dipecat, digantung

PN sedia terima pemimpin Umno dipecat, digantung

PERIKATAN Nasional (PN) bersedia untuk menerima pemimpin Umno yang dipecat dan digantung untuk menyertai mana-mana parti dalam gabungan itu.

Ketua Penerangan merangkap Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali, berkata PN tidak mempunyai masalah untuk menerima pemimpin dan ahli Umno yang ingin berjuang bersama dalam gabungan itu.

“Selagi pemimpin dan ahli Umno berpegang teguh kepada prinsip menyuburkan demokrasi, PN sentiasa bersedia untuk bersama-sama dengan mereka yang mahukan kerajaan bersih dan stabil.

“Kita (PN) boleh bersama dengan pemimpin seperti ini, namun tiada paksaan dan sedia berbincang dengan mereka selagi dapat menerima idealogi dan matlamat perjuangan PN,” katanya dipetik laporan Berita Harian.

Terdahulu, beliau merasmikan Penutupan Bengkel Pengucapan Awam Bersatu Negeri Sembilan yang turut dihadiri Pengerusi PN negeri, Datuk Eddin Syazlee Sith dan Pengerusi Perhubungan Gerakan Negeri Sembilan, Datuk Choong Vee Hing.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam tadi membuat keputusan memecat bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Ahli MKT, Tan Sri Noh Omar.

Empat pemimpin yang lain digantung keahliannya selama enam tahun.

Mereka ialah Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan; Ketua Umno Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

Mohamad Azmin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berkata, bagaimanapun setakat ini tiada perbincangan antara mereka berhubung penyertaan dalam parti gabungan PN.

Bekas Ahli Parlimen Gombak itu mengakui mereka yang dipecat dan digantung keahlian adalah kalangan pemimpin dan individu dalam Umno yang memiliki kualiti kepemimpinan serta boleh menyumbang tenaga dan kepakaran untuk kepentingan negara serta rakyat.

“Kita (PN) boleh bincang, namun setakat ini belum ada. Saya percaya sebagai sahabat, perkara ini (penyertaan) boleh kita melihat peranan masing-masing untuk kepentingan negara.

“Yang kita lawan adalah kleptokrat, perasuah, salah guna kuasa, tetapi mereka (yang dipecat dan digantung) mempunyai matlamat yang sama, suara KJ (Khairy Jamaluddin), suara Hishamuddin dan suara Shahril adalah senada dengan PN.

“Walaupun sebelum ini kita bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) tapi kita tidak berkompromi dalam soal prinsip, nilai dan integriti,” katanya. – Malaysiapost

Komen