PN tawar ‘bahtera penyelamat’ untuk ahli, pemimpin Umno
KETUA Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari secara berkias mempelawa ahli dan pemimpin Umno termasuk mereka yang ‘disingkirkan’ malam tadi untuk menyertai gabungan berkenaan.
Menerusi hantaran ringkas di Facebooknya, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda PAS menasihati mereka supaya segera menyelamat diri kerana ‘bahtera’ yang mereka naiki ketika ini akan karam.
Walaupun tidak menamakan mana-mana pihak atau individu, hantaran diserta dengan ilustrasi sebuah kapal besar sedang melalui detik-detik karam itu, dipercayai ditujukan kepada Umno dan ahlinya.
“Walaupun bahtera itu besar, jika jelas ia akan tenggelam, selamatkanlah diri dan orang tersayang,” katanya menerusi Facebook.
Malah, Ahmad Fadhli berkata, pihaknya menerima dengan hati terbuka serta mengalu-galukan kehadiran mereka menjadi sebuah keluarga.
“Kami tawarkan bahtera penyelamat (PN). Datanglah menjadi keluarga…,” katanya.

Kenyataan Ahmad Fadhli itu dipercayai mempunyai kaitan dengan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam tadi yang memecat Timbalan Ketua Bahagian Rembau, Khairy Jamaludin dan bekas Ketua Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar daripada parti.
Sementara, empat pemimpin lain termasuk Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Maulizan Bujang, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan Shahril Sufian Hamdan digantung keahlian selama enam tahun. – Malaysiapost