Tak perlu isytihar darurat banjir – TPM

Tak perlu isytihar darurat banjir – TPM

PENGISYTIHARAN darurat bencana akibat banjir yang melanda empat negeri tidak perlu dilakukan memandangkan keadaan masih terkawal, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana bencana banjir yang berlaku ketika ini tidak membabitkan banyak kawasan atau negeri.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah sudahpun melaksanakan pelbagai langkah proaktif bagi membantu kawasan terlibat ketika ini.

“Bantuan diberikan merupakan bantuan segera kepada ketua keluarga dan dalam waktu yang sama, kita perlu tambah baik bantuan kepada mangsa banjir terutamanya selepas pasca banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Politeknik Mersing yang menempatkan 353 mangsa banjir, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga meluluskan bantuan segera sebanyak RM10.5 juta bagi penyelesaian jangka pendek banjir di Mersing.

“Peruntukan ini bagi pembinaan tiga pam dan rumah pam yang bernilai RM3.5 juta setiap satunya.

“Bagi jangka panjang pula tebatan banjir di Mersing, memerlukan peruntukan sebanyak RM2.3 bilion,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan akan memobilisasi dan menggerakkan bantuan pasca banjir bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa yang terjejas.

Menurutnya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara akan disusun dan digerakkan bagi menyalurkan bantuan, terutama dari segi tenaga kerja bersama agensi kerajaan.

“Insya-Allah saya akan mobilisasikan NGO melalui koordinasi yang saya sudah susun di peringkat nasional.

“Begitu juga di negeri dan daerah, NGO memang banyak membantu supaya mangsa banjir diberi bantuan sewajarnya selepas pasca banjir,” katanya.

Sementara itu, ketika melakukan tinjauan udara banjir di Mersing, Timbalan Perdana Menteri meminta sukarelawan memainkan peranan untuk membantu mangsa membersihkan kawasan yang terbabit.

“Paling penting ialah bantuan semasa dan pasca banjir yang mana saya harap sukarelawan mengambil peranan penting terutama kerja-kerja pembersihan,” katanya yang akan melawat kawasan banjir di Sabah esok. – Malaysiapost

Komen