Terpulang parti dalam PH mahu ambil KJ, Noh – Anthony Loke
DAP menyerahkan kepada kebijaksanaan dan pertimbangan parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) sekiranya mahu mengambil Khairy Jamaluddin atau Tan Sri Noh Omar sebagai ahli mereka.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, parti itu tidak mahu masuk campur urusan dalam parti lain dan setakat ini, mereka juga belum menyatakan hasrat menyertai mana-mana parti.
“Terpulang kepada mereka (Khairy dan Noh) dan mereka belum menyatakan hasrat mereka. Jadi kita tidak payah buat kenyataan terburu-buru.
“Jadi kalau ada sesiapa yang mahu mohon itu parti masing-masing akan pertimbangkan. Kita tidak mahu beri apa-apa komen lagi,” katanya kepada media selepas mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Tahun Baru Cina 2023 pihak Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) hari ini.
Malam tadi, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memecat Noh dan Khairy susulan pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan Umno kerana kesalahan ketika Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15).
Selain itu, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Ketua Umno Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang; Ketua Umno Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan digantung daripada parti selama enam tahun.
Sementara itu, ditanya sama ada DAP akan menjemput pemimpin yang dipecat itu untuk menyertai parti, Loke berkata, DAP tidak perlu membuat apa-apa jemputan terbuka.
“Saya rasa kita tidak perlu buat apa-apa jemputan untuk menyertai mana-mana parti, itu terserah kepada individu-individu tersebut.
“Saya pasti mereka tahu apa yang terbaik untuk membuat keputusan,” katanya.
Mengenai sama ada pemecatan pemimpin Umno itu akan memberi kesan kepada Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, Loke berkata, kerajaan akan kekal fokus kepada pentadbiran dan pelaksanaan dasar yang ditetapkan.
“Jadi, urusan dalaman parti politik masing-masing. Kita biarkan parti itu untuk uruskan. Kita akan teruskan kerja kita untuk menyampaikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat.
“Itu akan kita fokuskan supaya kita terus mendapat sokongan rakyat, termasuk semasa PRN nanti,” katanya. – Malaysiapost