Tindakan gantung, pecat ahli tidak ikut undang-undang, Perlembagaan Umno – Noh

Tindakan gantung, pecat ahli tidak ikut undang-undang, Perlembagaan Umno – Noh

TAN Sri Noh Omar menyifatkan keputusannya ‘meminta’ dipecat dari Umno sebagai tindakan wajar daripada bersekongkol dengan pihak yang mampu ‘menguburkan’ parti itu.

Menerusi video terkini di TikTok Noh mendakwa, Umno di bawah pimpinan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengambil tindakan melulu serta tidak mengikut undang-undang dan perlembangaan parti.

Beliau yang turut mempertikaikan keputusan yang dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam tadi, mendakwa parti itu telah mencipta sejarah yang ‘luar biasa’.

“Oleh kerana saya tidak mahu bersekongkol dengan pemimpin ataupun Presiden Umno (Zahid) yang boleh ‘menguburkan’ parti, maka daripada saya digantung lebih baiklah saya dipecat.

“Umno hari ini di bawah kepimpinan Presiden (Zahid), tidak akan mengikut undang-udang dan Perlembagaan parti. Mereka buat sesuka hati demi kepentingan diri masing-masing.

“Lebih menyedihkan, ramai lagi pemimpin lain seperti KJ (Khairy Jamaluddin), Sharil Hamdan, (Datuk Seri) Hishammudin (Hussein) yang berani bersuara, diambil tindakan,” katanya.

Menurut Noh lagi, usaha menyingkirkan pihak yang berani bersuara di dalam Umno dibuat kerana Ahmad Zahid tidak mahu mereka memberi pandangan berhubung masa hadapan parti.

Malam tadi media melaporkan, Noh meminta MKT untuk memecatnya selepas kecewa dengan keputusan awal parti untuk menggantungnya selama enam tahun, sebelum dijadual menghadap Lembaga disiplin Isnin ini.

Selain Noh, Timbalan Ketua Umno Bahagian Rembau, Khairy Jamaludin turut menerima nasib sama.

Sementara, empat pemimpin lain termasuk Hishammuddin, Datuk Maulizan Bujang, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan Shahril Sufian Hamdan digantung keahlian selama enam tahun. – Malaysiapost

Komen