‘Tunggu, saya akan jawab’ – Ahmad Zahid
“TUNGGU, saya akan jawab, saya akan buat satu majlis nanti,” kata Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Itu komen ringkas Ahmad Zahid ketika media cuba mendapatkan penjelasan berhubung keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang menggantung dan memecat beberapa pemimpinnya.
Bagaimanapun beliau tidak menyatakan bila majlis berkenaan akan diadakan selepas ditanya media pada Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2023, di Dataran Merdeka hari ini.
Majlis itu disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut berangkat hadir pada majlis itu Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang diadakan malam tadi memutuskan untuk memecat bekas Ketua Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin.
MKT Umno turut menggantung keahlian Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Maulizan Bujang, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan Shahril Sufian Hamdan.
Selain itu, Ahli MKT Umno, Datuk Fathul Bari Mat Jahya diberikan surat tunjuk sebab. – Malaysiapost