Umno akan bangkit ikut 5 hala tuju baharu – Ahmad Maslan

Umno akan bangkit ikut 5 hala tuju baharu – Ahmad Maslan

UMNO akan bangkit semula berlandaskan lima hala tuju baharu yang digariskan kepemimpinan parti itu bagi membolehkan ia terus bergerak ke hadapan.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, hala tuju itu digariskan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022.

Menurutnya, Ahmad Zahid mengulas semula ucapan itu ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang diadakan pada malam tadi.

“Selain itu, mesyuarat MKT malam tadi turut memutuskan persidangan tahunan cawangan akan berlangsung pada Februari, manakala peringkat bahagian pada Mac. Kedua-dua peringkat persidangan membabitkan pemilihan.

“Persidangan Tahunan Umno Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan ialah pada 1 Februari (Rabu) hingga 26 Februari 2023 (Ahad) iaitu selama 26 hari,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Dalam ucapan dasar ketika PAU 2022 baru-baru ini, Ahmad Zahid menggariskan lima hala tuju baharu bagi membolehkan Umno bergerak ke hadapan, sesuai dengan perubahan sikap, pemikiran dan landskap politik negara.

Hala tuju pertama adalah menjalin kerjasama strategik dengan mewujudkan persefahaman dengan rakan-rakan parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan dalam mendepani realiti politik baharu,

Keduanya adalah menyegarkan parti dengan pemugaran idea serta pengkaderan yang efektif, sesuai dengan perubahan minda serta keutamaan rakyat.

Ketiga pula merujuk kepada keperluan untuk melabur dalam teknologi dan komunikasi masa hadapan bagi memastikan parti tidak ketinggalan dalam kecanggihan serta kepantasan perhubungan kerana Umno mesti menguasai teknologi semasa dan terkini sebagai saluran penyampaian, melampaui wadah media sosial sekarang.

Sementara itu, hala tuju keempat membabitkan gerakan merombak gerak kerja jentera parti secara konvensional kepada pendekatan berasaskan data dan analisis di semua peringkat struktur parti, sesuai dengan demografi pengundi dan psikografik rakyat yang membabitkan kajian keperibadian, nilai, pendapat, sikap, minat dan gaya hidup.

Bagi hala tuju kelima, parti mesti menggilap dan mengetengahkan muka-muka baharu sebagai wajah hadapan parti selain usaha meningkatkan kualiti ahli serta menggilap potensi mereka untuk mewarisi kepimpinan parti dan negara perlu sentiasa berjalan.

Ahmad berkata, Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita Umno, Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Exco Pergerakan Pemuda dan Exco Pergerakan Puteri Umno Pusat akan diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac 2023 (Sabtu).

“Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Umno Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac 2023,” katanya.

Beliau juga memaklumkan bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Ab Samad dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno 2023 (JPU 2023). – Malaysiapost

Komen