Umno ‘dibersihkan’: Noh, KJ dipecat
BEKAS Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, dipecat daripada parti atas pelanggaran disiplin mengikut Perlembagaan Umno.
Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang dipengerusikan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur malam tadi.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata kedua-dua ahli berkenaan dipecat kerana kesalahan sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Ahli Umno yang dipecat daripada parti Umno atas pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan Umno kerana kesalahan sewaktu PRU-15 ialah Tan Sri Noh Omar dan saudara Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
“Ahli Umno yang digantung hak-haknya dalam parti selama enam tahun ialah Datuk Seri Hishamuddin Hussein, Datuk Maulizan Bujang, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan saudara Shahril Sufian Hamdan,” katanya dalam satu kenyataan media selepas mesyuarat berkenaan.

Beliau berkata, selain itu turut dipecat adalah lima ahli UMNO Bagan Pasir Gudang, sembilan ahli Umno Bahagian Putrajaya, dua ahli Umno Bahagian Tanjung Karang dan 26 ahli Umno dari negeri Pahang.
“Antara kesalahan mereka ialah menjadi calon bebas, calon parti selain Barisan Nasional (BN) dan terbabit membantu parti lawan ketika PRU-15,” katanya.
Ahmad berkata, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula diumumkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Johor yang baharu menggantikan Datuk Seri Hasni Mohamad.
Menurutnya, MKT Umno juga memutuskan Tan Sri Shahrir Abdul Samad dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno 2023 (JPU 2023), manakala Datuk Mustapha Yaakub dilantik sebagai Setiausaha JPU 2023.
Sementara itu, beliau berkata tarikh-tarikh untuk Persidangan Tahunan Cawangan dan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian untuk 2023 juga ditetapkan.
“Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pemuda, Puteri Cawangan ialah pada 1 hingga 26 Februari ini.
“Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita Umno, Pemuda dan Puteri Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri Puasat akan diadakan serentak seluruh negara pada 11 Mac 2023.
“Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Umno Bahagian bersama Pemilihan Ahli MKT akan diadakan serentak seluruh negara pada 18 Mac 2023,” katanya. – Malaysiapost