Anak beranak jaga kantung negara?

Anak beranak jaga kantung negara?

ANGKATAN Anak Muda Bersatu (Armada) membidas pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Perdana Menteri dalam bidang ekonomi dan kewangan.

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mempersoalkan adalah pelantikan anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sebahagian reformasi dicadang Pakatan Harapan (PH).

“Anak beranak jaga kantung perbendaharaan negara. Inikah reformasi yang dicanang selama ini?

“Bukankah Nurul Izzah bercakap di World Economic Forum 2017 janji PH ialah pisahkan peranan dan jawatan Menteri Kewangan daripada Perdana Menteri?

“Ini bukan sekadar langgar janji tapi terus khianat agenda reformasi yang kamu laungkan saban tahun,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Terdahulu Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, mengesahkan beliau dilantik Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.

Ketika mengesahkan perkara itu dalam temu bual eksklusif dengan The Star, Nurul Izzah berkata, beliau memulakan khidmatnya berkuat kuasa 3 Januari lalu.

“Saya harap melalui pengalaman saya sebagai Ahli Parlimen yang terlibat dalam pelbagai bidang ketika berkhidmat sejak empat dekad lalu, mampu memberi manfaat dalam mengemudi tadbir urus ekonomi, akauntabiliti dan dasar polisi negara,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal turut mempersoalkan adakah pelantikan Nurul Izzah merupakan suatu urus tadbir yang baik dalam kerajaan perpaduan.

“Apa jaminan skandal 1MDB takkan berulang dengan peranan yang tidak dipisahkan sebegini? Apa kata Abang Mat Sabu kita?

“Apa beza keluarga Anwar dengan keluarga Trump? Adakah ini makna dan prinsip pentadbiran Madani yang nak dibangunkan untuk bawa Malaysia menjadi maju?

“Pakat-pakat nilai,” kata Ahli Parlimen Machang tersebut. – Malaysiapost

Komen