Apakah perkataan khianat tiada dalam kamus Hishammuddin? – Mohd Puad
AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyoal Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sama ada perkataan pengkhianatan tiada dalam kamus hidup beliau.
“Nak tanya Hishammuddin, apakah perkataan “traitor & treachery” (pengkhianatan) serta kesan buruknya kepada parti tidak ada dalam kamus beliau.
“Apakah itu bukan jahat (evil)?,” soal Mohd Puad dalam hantaran di Facebook hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Hishammuddin semalam, yang menulis: “Their evil must not make us lose our good”.
Hishammuddin membuat kenyataan itu selepas Umno menggantung keahliannya selama enam tahun.
Walaupun tidak menyatakan sebarang nama atau mana-mana kumpulan di dalam Umno, kenyataan Hishammuddin itu difahamkan merujuk kepada blok pemimpin parti yang berpihak kepada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Hishammuddin turut menegaskan tindakan Umno yang menggantung keahliannya selama enam tahun bukan satu pengakhiran karier politiknya.
Bekas Naib Presiden Umno itu sebaliknya berkata, ia adalah permulaan yang baharu untuk beliau. – Malaysiapost